Lazada Malaysia

Tanduk rusa Sungai Lembing

By  |  0 Comments
Lazada Malaysia


 

APABILA ditanya pendapat orang ramai tentang fungsi tanduk rusa, kebanyakan mereka beranggapan ia hanya sesuai dijadikan perhiasan dinding.

Dengan cabang lancip yang asalnya tumbuh meninggi, gantungan tanduk rusa apatah lagi di rumah desa, mudah memberi tafsiran bahawa ia adalah ornamen yang kaya dengan nilai eksotik.

Namun, di sebalik pandangan tipikal itu, tanduk rusa sebenarnya mempunyai 1001 manfaat perubatan yang diketahui sejak 2,000 tahun lalu.

Di Rusia misalnya, pakar-pakar kesihatan dan kecergasan negara itu mendedahkan bahawa atlet mereka mengalami peningkatan prestasi yang besar selepas mengambil bahan bukan toksik yang dihasilkan daripada tanduk muda rusa yang lebih dikenali sebagai tanduk baldu atau velvet antler.

Malah, menurut satu penyelidikan perubatan alternatif yang diketuai Pengerusi Persatuan Akupuntur Amerika dan Perubatan Biotenaga, Prof. Dr. Alex Duarte, di New Zealand, tanduk baldu digunakan sejak berabad lalu untuk mengawal tekanan darah, meningkatkan tahap hemoglobin serta menambah kecekapan fungsi paru-paru.

Menurut sejarah perubatan, tanduk baldu boleh mengubati 52 penyakit berbeza.

Antaranya, membantu pembinaan otot, meningkatkan fungsi kelenjar, menambahkan stamina, menajamkan kecerdasan mental, melegakan keradangan artritis, dan menyembuhkan ulser perut.

LELAKI ini optimis ternakan rusa dan tuaian tanduk baldu boleh dikomersialkan dan menjadi cabang baharu kepada industri perubatan alternatif tempatan.

 

Sementara itu, pakar herba China menggunakan tanduk baldu bagi menyeimbangkan sistem endokrin dan rawatan mati pucuk kaum lelaki.

“Tanduk baldu sangat bagus untuk merawat bengkak pada kelenjar prostat, malah boleh memekatkan air mani.

Mati pucuk

“Ia juga banyak digunakan untuk merawat gangguan haid kerana ia mengandungi kedua-dua hormon lelaki dan wanita.

“Selain itu, tanduk baldu kaya dengan komponen tulang rawan, enzim, mineral, vitamin, prostaglandin antiradang dan sejenis insulin pertumbuhan iaitu IGF-1,” jelas Duarte.

Lantaran manfaatnya yang pelbagai dan potensi kebolehpasaran tanduk baldu sebagai cabang perubatan alternatif, seorang usahawan ternakan, Muhammad Akhbar Chiraghdin, 52, yang sejak muda menternak lembu dan kambing, mula mengalihkan tumpuan kepada ternakan rusa.

Mempunyai pengalaman selama 19 tahun menternak rusa, beliau kini merupakan penternak terbesar rusa di negara ini.

Bermula dengan 22 ekor rusa di ladang yang dibuka di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, rusa yang dibiak dan diternaknya kini mencecah 2,000 ekor.

PANGKAL tanduk diikat sebelum tanduk dipotong dengan wayar kabel.

 

Penternakan skala besar itu juga mendorong Muhammad Akhbar untuk berpindah ke ladang baharu di Sungai Jin yang terletak di Sungai Lembing, Pahang, dua tahun lalu.

Lazada Malaysia

Berdiri atas nama De Paradise Sdn. Bhd., anak kelahiran Chenor, Maran ini berpendapat, menternak rusa jauh lebih mudah daripada lembu atau kambing kerana ia memiliki daya tahan penyakit yang tinggi.

“Kita tidak perlu risaukan penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, mulut, tangan dan kuku, malah kadar penyembelihan haiwan kerana sakit juga jauh lebih rendah berbanding dahulu,” ujarnya.

Buktinya, di ladang seluas 102 hektar yang diusahakannya itu, Muhammad Akhbar memerlukan empat atau lima pekerja sahaja bagi memastikan ribuan rusa pelbagai spesies yang mempunyai kadar kesuburan 125 peratus itu diberi makan pada masa tertentu.

Gigit tanduk

Menariknya, tujuan lelaki ini menternak bukanlah untuk menjual daging rusa, sebaliknya mahu mendapatkan tanduk baldu yang kaya dengan khasiat perubatan.

“Selepas membaca banyak jurnal perubatan dari Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, China dan Korea, kemudian bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan penternak dari Australia serta merasai sendiri manfaat daripada tanduk baldu rusa, saya pasti penternakan rusa berpotensi untuk dikomersialkan.

“Saya ternak rusa untuk dituai tanduk baldunya memandangkan belum ada pengusaha tempatan yang menceburi bidang ini, apatah lagi dalam skala besar.

“Rusa hanya akan disembelih dan dijual dagingnya apabila ia tercedera atau tidak mampu menghasilkan tanduk yang berkualiti,” katanya.

Menurut beliau lagi, hanya rusa jantan yang ditumbuhi tanduk dan ia boleh dituai seawal usia tiga tahun.

“Selepas dua bulan tanduk baldu tumbuh, ia boleh dituai. Dalam tempoh itu, tanduk memiliki kepanjangan antara 40 sentimeter (sm) hingga 60sm.

“Tanduk yang berumur tiga bulan boleh mencecah ukuran sehingga 80sm, tetapi pada masa itu tanduk mula mengeras.

“Rusa yang bakal dituai tanduknya diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah bilik gelap.

“Di situ nanti, proses menuai dilakukan. Ramai beranggapan, memotong tanduk rusa hidup-hidup kelihatan zalim, namun fitrah rusa itu sendiri mahukan tanduk itu ditanggalkan.

UNTUK mematikan saraf tanduk dan menghentikan pendarahan, bahan kimia khas digunakan.

 

“Kalau tanduk dibiarkan panjang dan mengeras, rusa lain akan menggigit tanduk rusa tersebut sehingga ia tertanggal. Fitrah ini berlaku dalam keadaan tenang, bukan dalam situasi pergaduhan,” ujar Muhammad Akhbar.

Jelasnya juga, tanduk rusa akan dituai sehingga ke pangkalnya.

“Selepas dua minggu tanduk dipotong, pangkalnya yang mengeras akan tertanggal.

“Beberapa bulan selepas itu, tanduk baldu akan tumbuh semula. Begitupun, tanduk tidak akan terus tumbuh.

“Jika tanduknya dituai pada bulan September tahun ini, tanduk rusa yang sama hanya boleh dituai pada bulan Oktober tahun hadapan.

“Dalam setahun, hanya sekali tanduk rusa boleh dituai,” jelas Muhammad Akhbar yang menjalankan rutin menuai tanduk baldu seminggu sekali di ladangnya.

Katanya, dalam setahun, ladangnya mampu mengeluarkan sehingga 600 kilogram (kg) tanduk baldu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>