Pokok geng kongsi gelap bertanda ‘08’

Lazada Malaysia

TANDA…kalungan bunga dan lilitan kain tertera 08 dipasang kumpulan dipercayai kongsi gelap.

 

SHAH ALAM: Sebagai tanda ‘hormat’ kepada pemimpin, sekumpulan lelaki dipercayai anggota kongsi gelap melilitkan kain tertulis angka 08 berserta kalungan bunga di tepi jalan utama Kampung Kebun, di sini beberapa hari lalu hingga mencetuskan kemarahan penduduk.

Penduduk menyifatkan perbuatan itu sebagai kurang ajar dan meminta pihak berkuasa bertindak membuang kain rentang dan kalungan bunga itu kerana boleh mengeliru dan mengguris hati pelbagai pihak.

Penduduk mendakwa, kain dan kalungan bunga itu dililit pada pokok selepas dua lelaki, dipercayai pemimpin kanan kumpulan terbabit terbunuh apabila kereta mereka remuk teruk merempuh pokok berkenaan selepas dikejar kenderaan polis kira-kira jam 2 pagi, minggu lalu.

Bagaimanapun, sehari selepas kejadian itu, puluhan lelaki menaiki motosikal dan kereta berarak ke tempat kejadian dan memasang kain rentang tertulis 08 serta meletakkan kalungan bunga.

Tindakan kumpulan berkenaan menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk mengenai motif mereka meletakkan kalungan bunga dan melilitkan kain yang tertera angka 08.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa ketika kain rentang dan kalungan bunga itu dipasang, terdapat lebih 50 lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan berkenaan.

Lazada Malaysia

“Kalau ini sebahagian upacara keagamaan, kami tidak kisah, tetapi cara mereka datang meletakkan kain rentang dan memasang kalungan mempunyai nombor 08 itu secara logik menggambarkan ia mewakili kumpulan kongsi gelap. Penduduk kampung di sini bimbang budaya kongsi gelap sewenang-wenangnya masuk ke dalam kampung mereka dan mempengaruhi penduduk terutama generasi muda.

“Menyakitkan lagi mata kami apabila dalam perarakan menaiki kenderaan itu mereka turut mengibarkan beberapa kain tertulis nombor serupa, seolah-olah megah dengan nama kumpulan kongsi gelap 08. “Kami cadangkan pihak berkuasa menurunkan kain yang dililit pada pokok berkenaan dan menasihatkan semua pihak supaya menjaga hati penduduk di sini,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kain yang tertera nombor 08 yang ditulis menggunakan dakwat merah dan sementara kalungan bunga digantung pada pokok yang sama.

Penduduk turut mendakwa, dalam kejadian mengejar di antara polis dan kereta dinaiki suspek minggu lalu, paip utama berdekatan turut pecah menyebabkan penduduk berdekatan mengalami masalah gangguan air.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengarahkan pegawai dan anggotanya ke tempat kejadian bagi menurunkan kain yang mempunyai angka 08 itu.

Beliau memberi jaminan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat dan tindakan menurunkan kain yang dililit pada pokok itu akan dilakukan serta-merta demi kebaikan semua pihak.

“Saya akan hantar pegawai dan anggota ke tempat kejadian bagi menurunkan poster tertulis nama kumpulan kongsi gelap itu,” katanya kepada Sentral semalam.

Author Description

No Responses to “Pokok geng kongsi gelap bertanda ‘08’”

Leave a Reply

Your email address will not be published.