Husam Gugur Kerana Tidak Dapat ‘Restu’ Sultan

By  |  0 Comments

Punca utama Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa tidak tersenarai dalam saf kepimpinan kerajaan Pas Kelantan selepas pengunduran Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar adalah kerana pemilihan beliau tidak mendapat restu Istana Kelantan.

Menteri Besar Kelantan yang baharu, Datuk Ahmad Yakob berkata, nama Husam berada di tempat teratas dalam senarai calon barisan Exco kerajaan Pas negeri itu tetapi pihak Istana telah menolaknya.

Keputusan itu menyebabkan Ahmad terpaksa mencari pengganti untuk memastikan proses angkat sumpah dapat dijalankan.

Katanya, selain Husam, nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman juga tidak dipersetujui oleh Istana Kelantan.

“Nama Husam diletakkan di atas sekali diikuti Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Ustaz Latiff (Abdul Latiff) untuk dilantik sebagai Exco.

“Apabila diserahkan kepada Tuanku, nama Husam dengan Ustaz Latiff ditolak, jadi saya terpaksa akur kalau tidak majlis angkat sumpah tidak boleh dijalankan,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Timbalan Pengarah II Majlis Tindakan DUN Pas Salor, Mohd. Nuri Mat Yaacob yang hadir ke rumahnya bersama kira-kira 150 penyokong untuk menyerahkan memorandum bantahan dan memohon penjelasan mengapa nama Husam tiada dalam barisan Exco Kelantan.

Mohd. Nuri sebelum itu memberitahu, para penyokong Pas di Salor berpendapat Husam layak menjadi Exco Kerajaan Pas Kelantan berdasarkan pengalaman dan kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas.

Penyingkiran Husam itu mengejutkan banyak pihak memandangkan beliau adalah antara pemimpin kanan Pas dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri selama tiga penggal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Husam tewas kepada Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor di kerusi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 5,541 tetapi menang di kerusi DUN Salor mengalahkan calon BN, Mohd. Noordin Awang dengan majoriti 3,683 undi.

Sementara itu, Husam pada sidang akhbar berasingan berkata, beliau tidak berkecil hati mengenai penyingkiran namanya dalam senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pas Kelantan, namun beliau mengaku sedikit terguris kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

“Saya hanya terguris kerana tiada pemakluman dibuat. Saya tidak diberitahu, tiada makluman dan tidak ada mesyuarat dipanggil di peringkat Pas negeri untuk memutuskan pertukaran Menteri Besar dan pembentukan kerajaan baharu.

“Pada hal, mesyuarah boleh membantu memperkukuhkan keputusan dan membulatkan pendirian. Ketelusan dan sokongan secara bermesyuarat akan membantu Pas terus utuh di bumi Kelantan,” katanya.

Husam juga meminta agar jangan dikaitkan Istana Kelantan dalam isu itu kerana beliau menganggap setiap keputusan tentu dilakukan dengan pertimbangan adil dan telus.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>