Hasrat untuk berkahwin ditolak,menyebabkan pelajar “naik hantu” mengelar bayi sendiri

By  |  0 Comments

BETONG: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan empat membunuh dengan mengelar bayi yang baru dilahirkan sehingga terburai perut di dalam asrama sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin dikatakan akibat hilang pertimbangan selepas hasratnya untuk menjaga bayi itu dan berkahwin dengan teman lelakinya ditentang keras keluarga masing-masing.

Difahamkan, kekasih mangsa berusia 27 tahun dikatakan bersetuju mengahwini pelajar berusia 16 tahun itu selepas menyedari gadis itu mengandung hasil keterlanjuran mereka, namun mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing dipercayai kerana faktor bawah umur.
Berikutan itu, pelajar terbabit dikatakan ‘naik hantu’ lalu membunuh bayi perempuan baru dilahirkan dengan mengelar sebanyak tujuh kali badan bayi malang itu menggunakan pisau pemotong sayur dalam bilik asrama sekolahnya.

Menurut sumber, maklumat awal daripada keluarga pasangan terbabit menjelaskan, mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin beberapa hari sebelum kejadian.
“Mungkin disebabkan tekanan perasaan dihadapi selepas hasrat mangsa untuk berkahwin dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung ditolak keluarga kedua-dua belah pihak, pelajar terbabit mengambil jalan pintas dengan membunuh bayi tidak berdosa itu bagi melepaskan kemarahan,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar bertindak mengelar bayi selepas melahirkannya dalam bilik asrama kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin.

Kejadian menggemparkan itu berlaku apabila bayi dilahirkan cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.
Sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.
Sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran ditemui di belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu sehingga menyebabkan isi perut terburai.
Susulan kejadian itu, guru lelaki yang menjumpai mayat bayi terbabit membuat laporan sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke lokasi kejadian.
Sementara itu, polis mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Sri Aman, di sini, bagi menahan reman pelajar terbabit yang masih dirawat di Hospital Betong selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nazari Bujang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan termasuk mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.
Difahamkan, pada masa sama, polis turut berusaha menjejak seorang lelaki yang juga kekasih kepada pelajar berkenaan bagi membantu siasatan.
“Dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan ke atas pelajar terbabit kerana didakwa membunuh, manakala teman lelakinya, Seksyen 376, kanun sama kerana merogol,” katanya yang mengakui tidak ada sebarang tangkapan dilakukan sehingga kini.

Sumber :Mymetro online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>