Lazada Malaysia

(Gambar) Dua Bayi hampir menjadi mangsa sindiket penjualan bayi

By  |  0 Comments
Lazada Malaysia

Dua Bayi hampir menjadi mangsa sindiket penjualan bayi

KULIT halus, pipi gebu, bibir mungil dan mata bundar antara gambaran yang menterjemahkan dua bayi comel ini. Sesekali kedua-duanya ketawa riang sehingga mencuit hati bagi sesiapa sahaja yang memandang termasuk penulis.

Bayi perempuan yang berumur sembilan bulan ini dipanggil Iman sejak kehadirannya di rumah ini sewaktu usianya baru seminggu manakala seorang lagi merupakan bayi lelaki yang mesra dengan panggilan nama Abang.

 

Dua bayi ini hampir menjadi mangsa sindiket penjualan bayi.

Usianya? Dianggarkan setahun lebih kerana sehingga ke hari ini masih belum ada yang dapat menentukan umurnya yang sebenar dengan tepat berikutan tiada sijil kelahiran atau surat-beranak yang disertakan bersama sewaktu Abang dijumpai di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Iman dan Abang diselamatkan daripada dijual dalam Operasi (Ops) Cinta Sayang yang dijalankan oleh Unit Anti-pemerdagangan Orang Bukit Aman dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dalam satu serbuan tahun lalu.

Selain itu, Polis turut merampas sijil lahir Iman dan wang tunai RM21,000 dipercayai dibayar oleh pasangan suami isteri yang ingin membeli bayi berkenaan.

Lazada Malaysia

Kasihan pada Iman apabila hampir menjadi mangsa sindiket penjualan bayi di klinik tersebut yang dipercayai menjalankan kegiatan itu lebih sedekad lalu.

Dengan nilai RM21,000, Iman seolah-olah dijadikan barang dagangan. Kemungkinan Abang yang turut berada di klinik yang sama dalam serbuan tersebut pastinya bakal dijual pada harga yang sama, kurang sedikit atau mungkin lebih daripada jumlah itu.

Difahamkan, bayi yang dijual di pasaran gelap memberikan pulangan begitu lumayan berikutan permintaannya yang tinggi. Di Malaysia sahaja, bayi dijual pada harga serendah RM10,000 sehingga mencecah RM20,000 seorang.

Sama ada ibu bapa Iman dan Abang atau pihak klinik itu, kesemuanya tidak berhati perut, bersikap zalim kerana mahu memperdagangkan bayi-bayi yang tidak berdosa.

Begitu mudah manusia dijadikan sebagai barang dagangan, fikir penulis yang melihat dua bayi ini di Rumah Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang untuk Kanak-kanak dalam satu lawatan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

Ini merupakan kali kedua penulis menjejakkan kaki ke rumah perlindungan itu selepas pertama kali pada awal tahun ini bagi membuat liputan cerita muka depan Mingguan mStar bertajuk Pemerdagangan Manusia yang disiarkan pada 23 Januari 2011.

Selain rumah perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak, penulis turut pernah melihat persekitaran rumah perlindungan untuk lelaki di lokasi berlainan.

Sejak 28 Februari 2008, jumlah keseluruhan kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan diberikan perintah perlindungan (PO) yang ditempatkan di rumah perlindungan seramai 104 orang.

Seramai 13 penghuni daripada jumlah itu adalah bayi.

Bagi tempoh itu juga terdapat seramai 479 wanita dan 216 lelaki menjadi mangsa pemerdagangan orang di mana masing-masing ditempatkan di rumah perlindungan berasingan.

sumber : mstar online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>