Diana Danielle Pinta Tidak Ditohmah Menjelang Nikah

Lazada Malaysia
Diana Danielle.

PETALING JAYA: Aktres jelita Diana Danielle meminta semua pihak agar tidak “merosakkan” majlis perkahwinannya bersama aktor dan pengarah filem Farid Kamil pada Sabtu ini dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak baik.

Tanpa mahu memperincikan tuduhan-tuduhan itu, wanita berusia 21 tahun ini berharap majlis akad nikah yang bakal berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang dekat sini, akan berjalan lancar walaupun ia diadakan pada waktu yang agak pelik daripada kebiasaan iaitu pada pukul 8 pagi.

Diana juga berkata dia tidak gemar apabila ada pihak mempersoalkan kononnya perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga termasuklah ibunya Norsiah Ramli.

“Saya tak nak dengar cakap orang sebab mereka bukan keluarga saya. Saya tak suka orang buat andaian tanpa mereka mengenali kami,” katanya yang mengakui serba salah mengadakan majlis pernikahan itu pada awal pagi.

Diana ditemui sebelum tayangan filem Skyfall anjuran produk kecantikan Nanowhite di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara di sini, petang Khamis.

Pada majlis itu, Diana turut menyampaikan sebuah lagu di hadapan peminat.

Aktres kacukan itu juga turut diraikan menerusi acara memotong kek bersempena ulang tahun hari lahirnya ke-21 yang disambut lebih awal oleh pihak penganjur.

Hari lahir Diana jatuh pada 22 November.

Pada 15 Oktober lalu, Farid membuat kejutan apabila mengumumkan berita pernikahan mereka pada majlis tayangan filem arahannya berjudul Pe3 di TGV Sunway Pyramid di sini.

Sebelum itu, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 2 September lalu selepas tiga tahun bercinta.

Berikut adalah temu bual mStar Online bersama Diana.

Boleh Diana ceritakan mengenai perkembangan persiapan terakhir menjelang majlis pada Sabtu ini?

Ya, tinggal dua hari sahaja lagi. Saya boleh katakan semuanya (persiapan) hampir siap sepenuhnya. Saya sudah tidak sabar hendak berjumpa sanak saudara, keluarga dan kawan-kawan yang akan datang ke majlis itu nanti.

Lazada Malaysia

Tidakkah anda berasa serba salah dengan pemilihan masa majlis yang agak pelik daripada kebiasaannya iaitu pukul 8 pagi?

Saya berasa serba salah juga kerana memilih waktu jemputan pada pukul 7.30 pagi. Namun, saya memikirkan tentang mereka (tetamu) juga. Majlis itu akan diadakan di luar dewan (kawasan tasik hotel) dan tiada khemah. Negara kita ini panas jadi kalau saya buat pukul 10 pagi, tentu semua datang pukul 12 tengah hari dan panas jadinya. Buat sebelah pagi suasananya lebih nyaman untuk semua.

Perasaan anda pada waktu ini menjelang saat-saat akhir majlis pernikahan?

Saya tidak rasa apa-apa pun lagi. Mungkin belum lagi. Malam ini (malam Khamis) saya akan mandi bunga dengan mama, hanya kami berdua.

Komen Diana mengenai dakwaan kononnya persiapan majlis pernikahan ini anda lakukan tanpa melibatkan ibu sendiri.

Mama ada campur tangan dalam hal-hal kecil seperti jemputan dan baju tetapi persiapan utama dilakukan oleh saya bersama dua orang perancang perkahwinan.

Ada pihak mendakwa anda terpaksa melakukan persiapan sendiri kerana majlis itu tidak mendapat restu keluarga?

Saya tak nak dengar cakap orang sebab mereka bukan keluarga saya. Saya tak suka orang buat andaian tanpa mereka mengenali kami. Saya lakukan persiapan itu sendiri untuk menimba pengalaman dan tak nak susahkan mama. Dia terlalu stres dan penat ketika persiapan majlis pertunangan tempoh hari, apatah lagi dia bukan sihat sangat. Untuk saya paksa dia buat persiapan sepenuhnya untuk majlis besar seperti ini, saya tidak rasa dia boleh buat.

Komen Diana berhubung tindakan anda akan menggunakan wali hakim untuk pernikahan nanti?

Benar saya akan menggunakan wali hakim tetapi saya tak nak komen sangat mengenai perkara itu. Ia bukan masalah besar pun. Saya kurang suka orang bertanya mengenai perkara itu.

Mengapa Diana tidak panggil bapa saudara daripada keluarga sebelah ibu sahaja sebagai wali?

Dari segi syarak, bahagian keluarga perempuan tidak layak untuk jadi wali.

Author Description

No Responses to “Diana Danielle Pinta Tidak Ditohmah Menjelang Nikah”

Leave a Reply

Your email address will not be published.