Awas! Gula-Gula Daripada Gelatin Babi

Lazada Malaysia

KUALA LUMPUR: Lambakan pelbagai jenis gula-gula jeli dan getah pelbagai warna serta bentuk yang diimport mencetuskan keresahan pengguna Islam berikutan 80 peratus dihasilkan daripada gelatin babi.

Gula-gula terbabit yang dijual berleluasa di kedai runcit dan pusat beli-belah dikesan tidak mempunyai logo halal, termasuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dakwaan mengaitkan gula-gula terbabit dengan penggunaan gelatin daripada kulit atau tulang babi diperkuatkan lagi apabila pengedar atau pengilang sengaja tidak menyenaraikan kandungan bahan gelatin digunakan pada bungkusan.

Sehingga kini, lebih 50 jenis gula-gula jeli dan getah yang berbentuk menarik untuk memikat pengguna cilik diragui statusnya berada di pasaran, lantaran sikap pengimport dan pengedar yang berdiam diri berhubung status halal.

Tinjauan Harian Metro mendapati gula-gula itu yang dijual sama ada secara timbang atau dalam peket plastik kecil menarik perhatian kanak-kanak berikutan bentuknya seperti buah-buahan, binatang dan kuih.

Malah, harganya semurah 20 sen hingga RM1 sebungkus menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih membelinya setiap hari.

Seorang pengadu, Iylia Hani Talib, 24, berkata kewujudan gula-gula terbabit yang mudah dibeli di kedai runcit atau pasar raya mula menimbulkan keraguan apabila kerap dibeli dan dimakan rakannya.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai proses pembuatan gula-gula terbabit, dia mendapat tahu ia memerlukan gelatin sebagai bahan asas utama.

“Mulanya saya turut sama menjamah gula-gula getah itu, namun selepas mendapati ia tidak mempunyai logo halal, saya mula was-was.

“Selepas bertanya rakan yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), saya yakin produk terbabit yang dipasarkan tanpa logo halal dikhuatiri mengandungi gelatin tetapi dibungkus dengan pembalut yang tidak menyatakan kandungan sebenar bagi mengelirukan umat Islam.

“Ada kemungkinan pengusaha makanan ringan asing dan tempatan berpakat merahsiakan kandungan tepat ramuan gelatin yang digunakan kerana tidak mahu produk mereka dipulau pengguna Islam.

“Tindakan pengusaha terbabit nyata tidak bertanggungjawab kerana menyembunyikan sesuatu yang sepatutnya diketahui umum bahan yang digunakan itu tidak halal,” katanya.

Kata Iylia, dia mengesyaki gelatin gula-gula itu tidak diproses mengikut kaedah dibenarkan syariat Islam, apatah lagi makanan itu dikeluarkan pengusaha asing yang pasti tidak menitikberatkan soal halal haram.

Dia berkata, penggunaan gelatin dalam makanan terbabit harus dilabelkan untuk memudahkan pengguna, terutama orang Islam mengetahui sama ada makanan itu halal atau haram.

“Lebih mengecewakan mungkin ada pihak yang sengaja menipu fakta kandungan atau langsung tidak meletakkannya untuk menipu orang ramai,” katanya.

Mengulas hal itu, Pengurus Pemasaran Kumpulan Halagel (M) Sdn Bhd, Muhammad Azhar Abdullah, 33, berkata kebimbangan orang ramai terhadap gula-gula diperbuat daripada gelatin babi berasas berikutan sumber gelatin babi (porcine) lebih murah dan menjadi pilihan utama pengilang gula-gula di luar negara, terutama di China.

Lazada Malaysia

Menurutnya, gelatin digunakan sebagai ejen penstabil, penebal, pembuih, pelekat dan pengikat.

Malah, boleh dikatakan tanpa penggunaan bahan ini, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.

“Melalui pengalaman lebih 10 tahun, kebanyakan jenis gelatin yang digunakan pengusaha makanan ringan di luar negara diperbuat daripada najis mughallazah seperti tulang dan lemak babi atau lemak lembu yang tidak disembelih mengikut syariat Islam.

“Hanya segelintir pengilang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan gelatin bovine (lembu, kerbau atau kambing) selain gelatin tumbuh-tumbuhan (pectin) untuk dijadikan bahan asas gula-gula,” katanya.

Namun menurutnya, tidak semua gelatin bovine benar-benar halal berikutan sumber ternakan seperti lembu atau kambing digunakan dibimbangi tidak disembelih mengikut hukum syarak.

“Melalui lawatan ke kilang menghasilkan gelatin di China sebelum ini, 70 hingga 80 peratus syarikat di sana mengeluarkan gelatin porcine. Malah ada syarikat yang menghasilkan gelatin porcine dan bovine dalam kilang sama.

“Keadaan ini menyebabkan syarikat kami mengimport gelatin halal dari Pakistan yang lebih diyakini berikutan sumber binatang halal disembelih,” katanya yang amat meragui gula-gula getah dari China kerana kebanyakan pengilangnya mendapatkan sumber daripada pengusaha gelatin tempatan.

Selain itu, kata Azhar, dia meragui gelatin dalam bentuk blok yang kerap digunakan syarikat menghasilkan kek.

“Mengikut maklumat, gelatin blok berwarna putih jernih adalah dihasilkan daripada sumber babi manakala gelatin berwarna kuning dihasilkan daripada lembu atau kambing,” katanya.

Azhar berkata, masalah berhubung produk yang haram dimakan dapat diatasi jika masyarakat lebih peka dan hanya memilih produk yang mempunyai logo halal Jakim.

Kami telah menghubungi PIHAK JAKIM melalui portal Islam GRID, ini adalah jawapannya:

Soalan
Assalamualaikum. saya ingin bertanyakan soalan tentang status kehalalan GULA-GULA JELI . menurut artikel di dalam harian metro 14 November 2007 jika saya tidak tersilap, ada mengatakan bahawaw gula-gula jeli mengandungi gelatin babi. Benarkah harap mendapat maklumbalas secepat mungkin.. terima kasih..

Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t
Saudara yang dirahmati Allah

Mana-mana produk makanan yang dibeli perlu terlebih dahulu dipastikan status kehalalannya. Jika produk tersebut sudah mendapat pengesahan sijil dari Jakim atau jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri atau mana-mana badan dari luar negara yang telah mendapat pengiktirafan dari Jakim ianya halal, maka ia sudah terjamin status halalnya maka ia dibenarkan oleh syarak untuk dimakan.

Berkenaan status gula-gula jeli tersebut, mohon dikemukakan nama/jenama gula-gula tersebut di laman web halal Jakim bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan produk tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Halal http://www.halal.gov.my/index.php
Sila klik pada pengguna kemudian klik pada direktori dan pilih produk.

wallahua’lam

Harian Metro

 

Author Description

No Responses to “Awas! Gula-Gula Daripada Gelatin Babi”

Leave a Reply

Your email address will not be published.