37 tabiat buruk ibu-bapa yang memberi kesan pada anak-anak

By  |  0 Comments
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

  • Apakah anda mula merasa susah mengawal tingkah laku anak anda?
  • Apakah anda dan pasangan sering tidak sefahaman dalam mendidik anak anak?
  • Apakah anak anda sering merengek dan memaksa untuk menuruti kemahuannya?
  • Apakah anak anda sering bergaduh antara satu sama lain?
  • Apakah anda susah hati kerana anak anda selalu menonton tv atau bermain PS?

Jika ada jawapan YA, sila baca tips di bawah :

1. Tidak Pernah Bersalah
Sewaktu anak kita masih kecil dan belajar untuk berjalan,mereka tanpa sengaja melanggar kerusi atau meja. Lalu mereka menangis. Umumnya, yang dilakukan oleh ibubapa supaya tangisan anak berhenti adalah dengan memukul kerusi atau meja yang tanpa sengaja mereka langgar. Sambil berkata,

“Siapa yang nakal? Papa / Mama dah pukul kerusi / meja … sudah cup …. cup … diam ye ..

Akhirnya si anak pun terdiam.

Ketika proses pemukulan terhadap benda-benda yang mereka langgar, sebenarnya kita telah mengajar anak kita bahawa dia tidak pernah bersalah.

Yang salahnya orang atau benda lain. Pemikiran ini akan terus dibawa sehingga dewasa. Akibatnya, apabila terjadi perselisihan atau pertengkaran, yang salah adalah orang lain, dan dirinya selalu betul.

Akhirnya, orang lain yang tidak melakukan kesalahan akan menerima hukuman.

Kita sebagai ibubapa baru menyedari hal tersebut ketika si anak sudah mula melawan kepada kita.

Perilaku melawan ini terbentuk sejak kecil kerana tanpa sedar kita telah mengajarkan untuk tidak pernah merasa bersalah.

Lalu, apa yang sebaiknya kita lakukan ketika si anak yang baru berjalan melanggar sesuatu sehingga membuatnya menangis?

Sebaiknya, ajarlah dia untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi; katakanlah padanya (sambil mengusap bahagian yang terasa sakit): “Sayang, kamu langgar ya. Sakit? Lain kali hati-hati, jalan perlahan-lahan supaya tidak terkena lagi. “

2. Berbohong Kecil

Mulanya anak-anak kita adalah anak yang selalu mendengar kata ibubapanya.

Mengapa? Kerana mereka percaya sepenuhnya kepada ibubapanya.

Namun, ketika anak meningkat dewasa, dia sudah tidak menuruti arahan atau permintaan kita?

Apa yang berlaku?

Apakah anak kita sudah tidak percaya lagi dengan perkataan atau ucapan-ucapan kita lagi?

Tanpa sedar kita sebagai ibubapa setiap hari sering membohongi anak untuk mengelakkan kemahuannya. Salah satu contoh pada waktu kita tergesa-gesa pergi ke pejabat di pagi hari, anak kita ingin mengikut atau mengajak berjalan mengelilingi kawasan perumahan. Apa yang kita lakukan? Apakah kita menjelaskan dengan jawapan yang jujur? Atau kita memilih untuk berbohong dengan mengalihkan perhatian si kecil ke tempat lain, selepas itu kita bergegas pergi? Atau yang ekstrem kita mengatakan,

“Papa / Mama hanya keluar sebentar, hanya ke depan saja, sebentaaar saja ya, Sayang.” Tapi sebaliknya, kita pulang malam. Contah lain yang sering kita lakukan ketika kita sedang menyuap anak makan kita,

“Kalau tak nak makan, nanti Papa/Mama tak bawa jalan-jalan”

Padahal secara logik antara jalan-jalan dan cara / pola makan anak, tidak ada kaitan langsung.

Dari beberapa contoh di atas, jika kita berbohong kecil , kesannya ternyata besar. Anak tidak akan percaya lagi dengan kita sebagai ibubapa. Anak tidak dapat membezakan kenyataan kita yang boleh dipercayai atau tidak. Akhirnya, anak menganggap semua yang diucapkan oleh ibubapnya adalah bohong dan anak mula tidak menuruti segala perkataan kita.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Berkatalah dengan jujur ​​kepada anak. Ungkapkan dengan penuh kasih dan pengertian:

“Sayang, Papa / Mama nak pergi kerja. Kamu tidak boleh ikut.”

Kita tak perlu merasa bimbang dengan keadaan ini.Pastinya memerlukan lebih masa untuk memberi pemahaman kepada anak kerana biasanya mereka akan menangis. Anak menangis kerana dia belum memahami keadaan mengapa ibubapanya harus selalu pergi di pagi hari. Kita harus bersabar dan beri pemahaman kepada mereka secara terus menerus.Perlahan-lahan anak akan memahami keadaan mengapa ibubapanya selalu pergi di pagi hari dan bila pergi bekerja, anak tidak boleh ikut. Sebaliknya bila pergi ke tempat selain pejabat, anak pasti diajak ibubapanya. Pastikan kita selalu jujur ​​dalam mengatakan sesuatu. Anak akan mampu memahami dan menuruti apa yang kita katakan.

3. Banyak Mengancam/Mengugut/Memberi Amaran

“Adik, jangan naik ke atas meja! nanti jatuh dan tiada yang nak tolong! “

“Jangan ganggu adik, nanti Mama / Papa marah!”

Pada anak, pernyataan seperti melarang atau perintah dan disuarakan dengan cara menjerit tanpa kita berganjak dari tempat duduk atau tanpa kita menghentikan suatu aktiviti, kenyataan itu sudah termasuk ancaman. Apa lagi jika ada ayat tambahan “…. nanti Mama / Papa marah!”

marah anakSeorang anak sangat pandai dalam mempelajari cara ibubapanya; dia boleh mengetahui cara ibubapanya mendidik, memesongkan atau mengawal cara ibubapanya. Hal ini terjadi bila kita sering menggunakan ancaman dengan kata-kata, namun selepas itu tidak ada tindakan lanjut atau mungkin kita sudah lupa dengan ancaman-ancaman yang pernah kita ucapkan.

Apa yang sebaiknya kita lakukan? .

Kita tidak perlu menjerit-jerit seperti itu. Dekati si anak, hadapkan seluruh tubuh dan perhatian kita padanya. Tatap matanya dengan lembut, namun tunjukkan riak muka/ekspresi kita tidak senang dengan tindakan yang mereka lakukan. Sikap itu juga ditegaskan dengan kata-kata,

“Sayang, Papa / Mama minta supaya kamu boleh meminjamkan mainan ini pada adikmu.

Papa / Mama akan makin sayang dengan kamu. “

Tidak perlu dengan ancaman atau jeritan. Atau kita boleh juga menyatakan suatu pernyataan yang menjelaskan suatu akibat, contohnya

“Sayang, bila kamu tidak meminjamkan mainan in ke adikmu, Papa / Mama akan simpan mainan ini dan kamu berdua tidak boleh bermain. Mainan akan Papa / Mama keluarkan jika kamu pinjamkan mainan itu ke adikmu. “

Tepati kenyataan kita dengan tindakan.

4. Bicara Tidak Tepat Sasaran/Tidak Jelas Maksud

Pernahkah kita mengherdik anak dengan ayat seperti,

“Papa / Mama tidak suka bila kamu begini / begitu!” Atau “Papa / Mama tidak mau kamu berbuat seperti itu lagi!”

Namun kita lupa menjelaskan secara terperinci dan dengan baik, hal-hal atau tindakan apa saja yang kita inginkan. Anak tidak pernah tahu apa yang diinginkan atau diperlukan oleh ibubapanya dalam hl seperti itu.Akibatnya anak terus mencuba sesuatu yang baru. Dari banyak percubaan yang dilakukannya, tetapi selalu dikatakan salah oleh ibubapanya. Hal ini mengakibatkan mereka mengulangi dengan sengaja untuk melakukan hal-hal yang tidak disukai oleh ibubapanya. Tujuannya untuk mrmbuat ibubapanya kesal sebagai mana anak juga kesal apabila tindakannya selalu salah di hadapan ibubapa.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Sampaikanlah hal-hal atau tindakan yang kita inginkan atau perlukan ketika kita menegur perilaku atau hal yang tidak kita sukai.Berkomunikasi dengan berkesan tentang hal atau perilaku yang kita inginkan atau perlukan. Apabila mereka sudah melakukan segala perkara atau perilaku yang kita inginkan atau perlukan, ucapkanlah terima kasih dengan tulus dan penuh kasih sayang atas segala usahanya untuk berubah.

5. Menekankan pada Hal-hal yang salah

Ramai ibubapa sering mengadu tentang anak-anaknya tidak patuh dan suka bertengkar. Ketika anak bertengkar, perhatian kita tertuju pada mereka, kita cuba melerai atau bahkan memarahi. Tapi apakah kita sebagai ibubapa pernah melihat ketika mereka sedang bermain dengan leka? Kita selalu menganggap bahawa tidak perlu menyapa mereka kerana mereka sedang leka.Situasi ini adalah salah, kerana akan menggalakkan mereka untuk bertengkar agar dapat menarik perhatian ibubapanya,

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Beri pujian setiap kali mereka sedang seronok bermain, setiap kali mereka berkongsi mainan antara mereka dengan ayat mudah difahami. Peluklah mereka sebagai tanda senang dan sayang.

6. Merendahkan Diri Sendiri

Apa yang anda lakukan jika melihat anak anda bermain Playstation lebih dari belajar? Mungkin ini ayat yang sering kita ucapkan pada mereka,

“Tutup PS itu, nanti papa marah bila dia balik kerja petang ni !”

Atau kita ungkapkan dengan kenyataan lain, namun tetap dengan bentuk yang mungkin ditakuti oleh anak. Contoh pernyataan ancaman diatas adalah ketika yang ditakuti adalah Papa.

Perhatikanlah ayat ancaman tersebut. Kita tidak sedar bahawa kita telah mengajarkan pada anak bahawa yang mampu untuk menghentikan mereka main PS adalah bapanya, maksudnya hanya si ayah saja yang ditakuti. Jangan hairan jika anak tidak mengendahkan perkataan kita kerana kita tidak mampu menghentikan mereka bermain PS.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Dekati anak, tatap matanya, dan katakan dengan nada serius bahawa kita ingin dia berhenti main sekarang atau berikan pilihan, contohnya :

“Sayang, Papa / Mama nak kamu mandi. Nak mandi sekarang atau lima minit lagi? “Bila jawapannya” lima minit lagi Pa / Ma “. Kita jawab kembali, “Baik, selepas lima minit kamu mesti mandi. Tapi jika tidak berhenti selepas lima minit, dengan terpaksa papa / mama akan simpan PS sampai esok “.

Selepas lima minit, dekati si anak, tatap matanya dan katakan telah cukup lima minit. Jika anak tidak berganjak, teruskan menyimpan PS tersebut.

7. Ibubapa Tidak Tegas

Mendidik anak bukan hanya tanggungjawab para ibu atau bapa sahaja, tapi kedua-duanya. Ibubapa harus mempunyai kata sepakat dalam mendidik anak-anaknya. Anak mudah menangkap rasa yang menyenangkan dan tidak menyenangkan bagi dirinya. Contoh, seorang ibu melarang anaknya menonton TV dan memintanya untuk mengerjakan kerja sekolah, namun pada masa yang sama, si bapa membela si anak dengan ayat tidak mengapa menonton TV terus agar anak tidak stress. Jika hal ini terjadi, anak akan menilai ibunya jahat dan bapanya baik, akibatnya setiap kali ibunya memberi perintah, ia akan mula melawan dengan berlindung dengan pembelaan bapanya. Begitu juga sebaliknya.

Di hadapan anak, jangan berbeza pendapat untuk hal-hal yang berkaitan dengan persoalan mendidik anak. Pada masa salah seorang dari kita sedang mendidik anak, maka pasangan kita harus menyokongnya. Contoh, ketika si ibu mendidik anaknya untuk berlaku baik terhadap si kakak, dan si ayah harus menyokong pernyataan, “Betul kata mama, Dik. kamu perlu sayang dan hormati kakak …. “

8. Campur Tangan Datuk, Nenek, Saudara, atau Pihak Lain

Ibubapa berusaha untuk bertegas dan sepakat satu sama lain dalam mendidik anak-anak, tiba-tiba ada pihak ke-3 yang muncul dan cenderung membela si anak. Pihak ke-3 yang dimaksudkan seperti datuk, nenek,bapa saudara, ibu saudara atau pihak lain di luar keluarga.

Seperti kebiasaan ke-7 (ibubapa tidak tegas), kesan ke anak tetap negatif bila dalam satu rumah terdapat pihak luar yang campur tangan dalam hal mendidik anak. Anak akan cenderung berlindung pada orang yang membelanya dan juga cenderung melawan ibubapanya.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Pastikan dan yakinkan kepada siapa pun yang tinggal di rumah kita untuk sepakat dalam mendidik dan tidak mencampuri pada masa proses mendidik anak. Berikan penerangan dengan bahasa yang boleh diterima baik oleh para pihak ke-3.

9. Menakutkan Anak

Kebiasaan ini dilakukan oleh ibubapa semasa anak menangis dan berusaha untuk menenangkan dia. Kita juga terbiasa mengugut anak untuk mengalihkan perhatiannya,

“Ada pengawal keselamatan, tidak boleh beli mainan itu!”

Hasilnya memang anak sering kali berhenti merengek atau menangis, namun secara tidak sedar kita telah menanamkan rasa takut atau benci pada institusi atau pihak yang kita sebutkan .

Sebaiknya, berkata dengan jujur ​​dan terangkan kepada anak seperti kita menerangkan kepada orang dewasa kerana anak-anak juga mampu berfikir dewasa. Jika anak tetap memaksa, katakanlah dengan penuh makna dan tataplah matanya, “Kamu boleh menangis, tapi papa / mama tetap tidak akan membelikan gula-gula.” Biarkan anak kita yang memaksa tadi menangis hingga diam dengan sendirinya.

10. Ucapan dan Tindakan Tidak Sesuai/Tidak Selaras

Konsisten mutlak diperlukan dalam mendidk anak. Konsisten merupakan kesesuaian antara yang dinyatakan dan tindakan. Anak mempunyai ingatan yang tajam terhadap suatu janji, dan ia sangat menghormati orang-orang yang menepati janji baik untuk memberi hadiah atau janji untuk memberi hukuman.

Jangan pernah menabur janji kepada anak dengan tujuan untuk memujuknya, agar ia mengikuti permintaan kita seperti segera mandi, selalu belajar, tidak menonton televisyen. Fikirlah terlebih dahulu sebelum berjanji sama ada kita benar-benar boleh memenuhi janji tersebut. Jika ada janji yang tidak boleh dipenuhi segeralah minta maaf, berikan alasan yang jujur ​​dan minta dia untuk menentukan apa yang kita boleh lakukan bersama anak untuk menukar janji itu.

11. Hadiah untuk Kelakuan Buruk Anak

Acapkali kita tidak konsisten dengan kenyataan yang pernah kita nyatakan. Bila hal ini terjadi, tanpa kita sedari kita telah mengajar anak untuk melawan kita.Contoh klasik dan sering terjadi adalah pada saat kita bersama anak di tempat awam, anak merengek meminta sesuatu dan rengekannya menjadi jeritan dan ada gerak perlawanan. Anak terus mencari akal agar keinginannya dipenuhi, dan menyebabkan kita malu. Pada masa inilah kita seringkali kalah kerana tidak sabar lagi dengan rengekan anak kita.Akhirnya kita mengiyakan keinginan si anak.

“Ya sudah; kamu ambil satu pemainannya. Satu saja ya! “

Kenyataan tersebut adalah sebagai hadiah bagi perilaku buruk si anak. Anak akan mempelajarinya dan mengulangi pada hari lain bahkan mungkin dengan cara yang lebih lagi.

Menghadapi keadaan seperti ini, tetaplah konsisten; tidak perlu malu atau takut dikatakan sebagai ibubapa yang tidak mwngawal anaknya. Ingatlah selalu bahawa kita sedang mendidik anak, apabila kita konsisten dan tegas anak tidak akan mengulangi lagi. Tetaplah KONSISTEN dan pantang menyerah! Apapun alasannya, jangan pernah memberi hadiah pada perilaku buruk si anak.

12. Rasa Bersalah Kerana Tidak Boleh Memberikan yang Terbaik

Kehidupan metropolitan telah memaksa sebahagian besar ibubapa banyak menghabiskan masa di pejabat dan di jalan raya daripada bersama anak.Terbatasnya masa inilah yang menyebabkan ramai ibubapa merasa bersalah atas situasi ini. Akibat dari perasaan bersalah ini, kita, membenarkan perangai buruk anak dengan ungkapan yang sering dilontarkan,

Biarlah dia seperti ini mungkin kerana saya jarang meluangkan masa dengannya …”

Semakin kita merasa bersalah terhadap keadaan, semakin banyak kita menyemai tingkah laku buruk anak. Semakin kita maklum tingkah laku buruk anak, anak juga akan semakin sering melakukannya. Sebahagian besar tingkah laku anak bermasalah yang pernah saya (penulis) hadapi banyak berpunca dari cara ibubapa berfikir yang seperti ini.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Kita tidak boleh membandingkan keadaan sosial ekonomi dan masa kita dengan orang lain. Setiap keluarga mempunyai masalah yang tersendiri. Ada orang yang punya kelebihan dari segi kewangan tapi kesuntukan masa bertemu dengan anak, dan sebaliknya. Jangan pernah memikirkan hal yang tidak baik. Lakukanlah pendekatan berkualiti jika kita hanya mempunyai sedikit masa; gunakan masa yang minimum itu untuk berkongsi sepenuhnya dengan anak. Memang tidak mudah tapi lakukanlah demi mereka dan keluarga kita, anak akan terbiasa.

13. Mudah menyerah dan pasrah

Setiap manusia mempunyai watak yang berbeza-beza, ada yang lembut dan ada yang keras.Kebanyakan ciri watak yang dimiliki oleh ibubapa adalah kurang tegas, mudah menyerah, selalu takut salah dan cenderung mengalah/pasrah. Konflik ini biasanya berlaku bila mempunyai anak yang berwatak keras. Akibatnya, si anak jauh lebih dominan untuk mempengaruhi keputusan dan ibubapa sukar mengawal tingkah laku anaknya dan cenderung pasrah.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Belajar dan berusaha dengan keras untuk menjadi lebih tegas dalam mengambil keputusan, tingkatkan watak keteguhan hati dan pantang menyerah. Jika perlu, ambil orang yang kita anggap tegas untuk jadi penasihat harian kita.

14. Marah Yang Berlebihan

Kita seringkali menyamakan antara mendidik dengan memarahi. Perlu diingat, memarahi adalah salah satu cara mendidik yang paling buruk.Pada saat memarahi anak, kita bukan sedang mendidik mereka, melainkan melepaskan geram atau kekesalan kerana kita tidak boleh mengatasi masalah dengan baik. Marah juga hanya usaha untuk melemparkan kesalahan pada pihak lain [dan biasanya yang lebih lemah seperti anak-anak].

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jangan bercakap ketika marah! Jadi tahanlah dengan cara yang selesa untuk kita lakukan seperti masuk bilik mandi atau ke mana-mana sehingga marah reda. Yang perlu dilakukan adalah bicara “tegas” bukan bicara “keras”.Bicara yang tegas adalah dengan nada yang rata, dengan serius dan menatap wajah serta matanya dalam dalam. Bicara tegas adalah bicara pada ketika fikiran kita rasional, sedangkan bicara keras adalah pada masa fikiran kita dikuasai emosi.

Satu contoh lagi yang kurang baik, ketika marah biasanya kita emosi dan mengucapkan / melakukan hal hal yang kelak kita sesali, setelah ini terjadi, biasanya kita akan menyesal dan berusaha memperbaikinya dengan membolehkan hal-hal yang sebelumnya kita larang. Bila hal ini berulang kali, maka anak kita akan selalu berusaha memancing marah kita, dan kesudahannya si anak menikmati hasilnya. Anak yang sering dimarahi tidak akan jadi lebih baik.

15. Ego Untuk Menyapa

Kita pasti pernah mengalami bahawa kita terlanjur marah besar pada anak, biasanya marah terbawa lebih dari sehari, akibat dari rasa kesal yang masih tersisa dan rasa ego, kita enggan menyapa anak kita. Masing-masing menunggu untuk memulakan kembali hubungan yang normal.

Apa yang perlu kita lakukan agar komunikasi cair kembali? Siapa yang seharusnya memulakan? Kita sebagai ibubapalah yang seharusnya memulakan masa anak mula menunjukkan tanda-tanda perdamaian dan mengikuti keinginan kita. Dengan cara ini kita dapat menunjukkan kepada anak bahawa kita tidak suka pada sikap anak, bukan pada peribadinya.

16. Memaklumi/Menerangkan yang tidak kena pada tempatnya

Ini biasanya berlaku pada kebanyakan ibubapa konservatif. Contohnya melihat anak lelaki yang suka mengusik, nakal, ibubapa suka mengatakan,

“Alah, anak lelaki memang begitu” atau ketika melihat kakak dan adik bertengkar, ibunya berkata “maklumlah … namanya juga anak anak”. Atau ketika si anak memukul teman, ibubapa masih juga membela dengan mengatakan ” maklumlah namanya juga anak anak. Tak sengaja . “

Bila kita selalu membela tindakan salah yang dilakukan anak-anak, automatik si anak berfikir sikapnya betul, dan akan menjadi teruk jika terbawa sehingga ke dewasa.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Tidak perlu menerangkan hal yang tidak perlu, kita harus mendidik setiap anak sesuai dengan sifat dasarnya. Setiap anak boleh dididik dengan tegas [ingat: bukan keras] sejak usia 2 tahun. Semakin awal usianya, semakin mudah untuk dikendalikan dan diajak kerjasama. Anak kita akan bekerjasama jika kita selalu mengajaknya dialog dari hati ke hati, tegas, dan konsisten. Ingat, tidak perlu menunggu sehingga usianya dewasa, kerana semakin bertambah usia, semakin tinggi tahap kesukaran untuk mengubah sikap buruknya.

17. Penggunaan istilah yang tidak jelas maksudnya

Ibubapa kerap menggunakan kenyataan seperti “Jaga ye, kalau kamu nak ikut mama / papa, tidak boleh nakal!” Atau, “Ingat, kalau nanti ikut dengan mama / papa, jangan memalukan mama”, boleh juga terungkap , “kalau nak jalan jalan ke taman permainan, jangan macam macam ya”.

Tanpa disedari kita sering menggunakan istilah yang sukar difahami atau bermakna lain. Istilah ini akan mengelirukan anak kita. Dalam hati mereka bertanya apa yang dimaksudkan dengan nakal, tingkah laku apa yang termasuk dalam kategori nakal, begitu pula dengan istilah “jangan macam macam”, tingkah laku apa yang termasuk kategori “macam macam”. Anak menjadi keliru.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Bercakap dengan jelas dan tertentu, Contohnya

“Sayang, kalau kamu nak ikut mama / papa, tidak boleh minta mainan, gula-gula, dan tidak boleh menejrit di juruwang seperti dulu ye”.

Hal ini penting agar anak mengetahui batasan-batasan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, serta jangan lupa bersetuju apa akibatnya bila perjanjian ini dilanggar.

18. Mengharap Perubahan Segera

Kita terbiasa hidup dalam budaya yang serba segera, seperti mee segera, susu segera, minuman segera. Sehingga bila anak berbuat salah, kita inginkan perubahan yang segera juga, contoh ketika biasa terlambat bangun, tidak mengemas tempat tidur, sukar dimandikan, kita ingin agar anak kita berubah mendadak dalam jangka masa sehari.

Apabila kita sering memaksa perubahan pada anak kita dalam waku singkat, kemungkinan besar anak sukar memuaskan. Dan ketika dia gagal dalam memenuhi keinginan kita, anak akan kecewa dan tidak yakin boleh melakukannnya lagi. Akibatnya dia memilih untuk melakukan perlawanan seperti banyak memberi alasan, acuh tak acuh, atau marah-marah pada adiknya.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jika kita mengharapkan perubahan pada anak, berilah masa untuk setiap fasa perubahan yang rasional untuk boleh dicapainya. Elakkan membuat target perubahan yang tidak mungkin boleh dicapainya. Ajaklah dia untuk melakukan perubahan dari hal yang paling mudah. Biarkanlah dia memilih hal yang paling mudah untuk diubah. Kejayaannya untuk melakukan perubahan tersebut boleh memotivasikan anak untuk melakukan perubahan lain yang lebih sukar. Puji dan jika perlu raikan kejayaan yang dicapainya, sekecil dan semudah apapun perubahan itu. Hal ini untuk menunjukkan betapa seriusnya perhatian kita terhadap usaha yang telah dilakukannya. Tumpukan perhatian dan pujian kita pada usahanya, bukan pada hasilnya.

19. Bukan Pendengar yang Baik

Sebahagian besar ibubapa adalah bukan pendengar yang baik bagi anak anaknya.Benarkah? Bila ada suatu masalah yang terjadi pada anak, ibubapa lebih suka menyampuk, terus menasihati tanpa bertanya permasalahannya serta asal usul kejadiannya.

Sebagai contoh, anak kita baru saja pulang sekolah yang sepatutnya pulang waktu tengahari tetapi sampai di rumah pada waktu petang. Ibubapa menjadi risau dan menunggu kepulangan anak.

Ketika anak kita sampai dan masih penat, kita terus menyambutnya dengan pelbagai pertanyaan dan bebelan. Bila anak hendak bicara, kita selalu memotongnya. Akibatnya anak tidak ingin bercakap dan marah pada kita.

Bila kita tidak berusaha mendengar mereka, maka mereka pun akan bersikap seperti itu pada kita dan akan belajar mengabaikan kita.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jika kita tidak ingin hal ini terjadi, maka mulai saat ini jadilah pendengar yang baik. Dengarkan setiap ucapannya. Ajukan soalan-soalan untuk menunjukkan minat kita akan persoalan yang dihadapinya.

20. Selalu menuruti permintaan anak.

Apakah anak kita adalah anak tunggal? Atau anak lelaki yang ditunggu-tunggu dari beberapa anak perempuan kakak-kakaknya? Atau mungkin anak yang sudah bertahun-tahun ditunggu tunggu? Fenomena ini seringkali menjadikan ibubapa teramat sayang pada anaknya sehingga apa saja kemahuan dituruti.

Seperti Raja Kecil, semakin hari tuntutannya semakin banyak dan kuat, jika menjadi kebiasaan akan sukar dibendung. Anak yang dididik dengan cara ini akan menjadi anak yang ego, tidak inign bertolak ansur, dan tidak boleh bersosial.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Betapa sayangnya kita pada anak, janganlah pernah mengamalkan cara didikan seperti ini. Rasa sayang tidak perlu di tunjukkan dengan menuruti segala kemahuannya. Jika kita sayang, maka kita harus mengajar tentang nilai baik dan buruk, yang benar dan yang salah, yang boleh dan yang tidak boleh. Jika tidak, rasa sayang kita akan membuatnya jadi anak yang mementingkan diri sendiri.

21. Terlalu Banyak Larangan

Ini adalah bertentangan dari kebiasaan di atas. Ibubapa jenis ini cenderung menjadikan anak seperti apa yang kita inginkan secara SEMPURNA, kita cenderung membentuk anak kita sesuai dengan keinginan kita; anak kita harus begini tidak boleh begitu; dilarang melakukan ini dan itu.

Sehingga anak tidak tahan lagi dengan cara kita, dia pun akan memberontak, baik dengan cara menyakiti diri,memberontak dalam diam atau dengan terbuka. Oleh itu, kurangkan sifat kesempurnaan kita, berilah izin kepada anak untuk melakukan perkara yang baik dan positif. Berlatih untuk selalu berdialog agar kita boleh melihat dan memahami sudut pandang orang lain. Bangkit dengan situasi saling mempercayai antara anak dan kita. Kurangkan jumlah larangan yang berlebihan dengan meminta pertimbangan pada pasangan kita. Gunakan kesepakatan untuk memberikan batas yang lebih baik.

Contoh,

“kamu boleh keluar tapi jam 9 malam harus tiba di rumah. Jika kemungkinan pulang lambat, segera beritahu Papa / Mama.

22. Terlalu Cepat Membuat Kesimpulan

Ini adalah kesan akibat tidak menjadi pendengar yang baik. Kita kerap memotong perbualan ketika anak sedang memberi penjelasan, dan akan membuat kesimpulan akhir yang biasanya akan memburukkan atau mengecewakan anak. Padahal kesimpulan kita belum tentu benar, dan seandainya benar, cara seperti ini akan menyakitkan hati anak kita.

Seperti contoh anak yang balik lewat. Anak terlambat balik dan hendak menjelaskan sebabnya, kita memotong ayatnya dengan ungkapan, “Sudah! jangan bagi alasan ” atau ” Ah, Papa / Mama tahu, kamu pasti menyimpang ke tempat lain kan?! “.

Jika kita melakukan kebiasaan ini terus menerus, anak akan berfikir kita adalah ibubapa yang tidak mahu memahami keadaan dan menjengkelkan. Lalu mereka tidak ingin bercerita atau bercakap lagi, dan akibat anak akan benar-benar melakukan hal-hal yang kita tuduhkan padanya. Anak tidak ingin mendengar nasihat kita lagi, dan pada tahap yang paling teruk, dia akan pergi ketika kita sedang berbicara padanya. Pernahkah anda mengalami hal ini?

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jangan pernah memotong percakapan dan membuat kesimpulan terlalu awal.Tak seorang pun yang suka bila percakapannya dipotong, apalagi ceritanya disimpulkan oleh orang lain.

Dengarkan, dengarkan, dan dengarkan sambil memberikan tanggapan positif dan bersemangat. Ada masanya kita akan diminta untuk bercakap, tentunya setelah anak selesai dengan ceritanya. Bila anak sudah membuka soalan, “bagaimana,ibu/ayah?” Ertinya dia sudah sedia untuk mendengar pertuturan atau komen kita.

23. Mengungkit Kesalahan Masa Lalu

Akibat bukan pendengar yangbaik dan terlalu cepat membuat kesimpulan akan berlanjutan dengan hal yang menyakitkan hati anak, dengan mengungkit rekod kesalahan yang pernah dibuat oleh anak. Contohnya, “kan Papa / Mama dah cakap? Kamu tidak pernah nak mendengar, sekarang tengok apa dah jadi. Jadi kena dengar cakap mama / papa”.

Kiat berharap dengan mengungkit kejadian masa lalu, anak akan belajar dari kesilapan. Namun yang terjadi adalah sebaliknya, anak akan sakit hati dan berusaha mengulangi kesalahannya sebagai tindakan balasan dari sakit hatinya.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jika kita tidak ingin anak berkelakuan buruk lagi, janganlah diungkit-ungkit masa lalunya. Cukup dengan tatapan mata, jika perlu rangkullah dia. Ikutlah berempati sampai dia mengakui kesalahan dan kekeliruannya. Ucapkan kenyataan seperti “manusia itu tempatnya salah dan lupa, semoga ini menjadi pelajaran berharga buat kamu”, atau “Papa / mama bangga kamu boleh mencari hikmah positif dari kejadian ini”. Jika ini yang kita lakukan, anak akan lebih mendengar nasihat kita. Cuba dan buktikanlah!.

24. Suka Membandingkan

Hal yang paling menyakitkan adalah ketika kita membandingkan dengan orang lain.Bila kita sedang berada di suatu majlis dan bertemu dengan orang yang berpakaian hampir sama atau berwarna sama, kita merasa tidak selesa untuk berdekatan.

Secara psikologi, kita sangat tidak suka bila kehadiran kita baik secara fizikal atau sifat-sifat kita dibanding dengan orang lain. Cuba ingat pengalaman kita bila ada orang yang membandingkan kita, bagaimana perasaan kita saat itu?

Tetapi, kebanyakan ibubapa sering melakukan hal ini pada anaknya – membandingkan anak yang malas dengan yang rajin. Anak yang kemas dengan yang comot. Anak yang cekap dengan anak yang lembap. Anak yang mendapat markah tinggi di sekolah dengan anak yang markah rendah. Ayat yang sering terdengar biasanya seperti, “Cuba kamu rajin belajar seperti adik, mesti markah kamu tidak seperti ini!”.

Jika kita tetap melakukan kebiasaan ini, beberapa akibat akan berlaku; anak kita semakin tidak menyukai kita. Anak yang dibandingkan akan iri dan dengki dengan yang dibanding. Anak yang menjadi pembanding akan merasa sombong dan bongkak.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Tiap manusia dilahirkan dengan watak dan sifat yang unik. Jangan sesekali membandingkan antara satu sama lain. Catat perubahan setiap sikap anak. Jika ingin membandingkan, bandingkanlah dengan sikap mereka di masa lalu, ataupun dengan nilai-nilai ideal yang ingin mereka capai. Contohnya, “Eh, biasanya anak papa / mama suka mengemas tempat tidur, kenapa hari ini tak ya?”

25. Sentiasa Betul dan Tahu Segalanya

Egosentrik (bersifat mementingkan keperluan sendiri sahaja (tanpa mengendahkan keperluan orang lain) terjadi pada anak usia 1-3 tahun. Usia tersebut adalah masa apabila anak merasa paling benar dan memaksakan kehendaknya. Tapi sifat ini terbawa dan masih banyak dimiliki oleh ibubapa. Contoh ungkapan orang tua, “ah kamu ini masih hingusan, bukan tau apa soal hidup.” Atau, “kamu tau tak, papa / mama ini sudah banyak makan asam garam kehidupan, jadi tak payah bagi nasihat dengan kami!”.

Jika kita mempunyai kebiasaan seperti ini, kita telah membuat proses komunikasi dengan anak ke arah jalan buntu. Walaupun maksud kita adalah untuk menunjukkan kelebihan kita di depan anak, tapi yang ditangkap anak adalah semacam kesombongan yang luar biasa, dan tentu saja tak seorang pun ingin mendengar nasihat orang yang sombong.

Apa yang seharusnya kita lakukan?

Seringkali usia dijadikan acuan tentang banyaknya pengetahuan dan pengalaman. Pada zaman dulu hal ini boleh jadi benar, namun sekarang, keadaan itu tidak berlaku lagi. Siapa yang lebih banyak mendapatkan maklumat dan mengikuti kegiatan, maka dialah yang lebih banyak tahu dan berpengalaman.

Jadi janganlah merasa menjadi orang yang paling tahu, paling hebat, paling alim. Dengarkanlah setiap input yang datang dari anak kita.

26. Saling Melepaskan Tanggungjawab

Mendidik anak menjadi tanggungjawab ibubapa. Bila kedua belah pihak merasa kurang bertanggungjawab, maka proses pendidikan anak akan terasa tempang dan jauh dari berjaya. Lagi teruk, bila ibubapa sudah mula merasakan kesan perlawanan dari anak-anaknya, yang sering terjadi malah saling menyalahkan satu sama lain.

Kenyataan yang kerap muncul adalah, “kamu tak pandai nak mendidik anak”, dan kemudian dibalas “sedapnya bercakap, kamu sendiri selama ini ke mana?!”. Jika cara ini yang dipertahankan dalam keluarga, adakah menyelesaikan masalah? Tunggu saja hasilnya, pasti ibubapalah yang akan menuai hasilnya, anak akan merasa sikap buruknya adalah bukan kerana kesalahannya, tapi kerana ketidaksepakatan ibubapanya. Jelas anak tidak akan merasa dididik malah semakin berkelakuan buruk.

Apa yang seharusnya kita lakukan?

Hentikan saling menyalahkan. Ambillah tanggungjawab sebagai ibubapa secara seimbang.keberhasilan pendidikan terletak di tangan ibubapa. Pendidikan adalah kerja sama pasukan, bukan individu. Jangan gunakan alasan tidak ada masa, semua orang mempunyai masa 24 jam sehari, jadi aturlah masa kita dengan berbagai macam cara dan berbincang selalu dengan pasangan kita.

27. Kakak/Abang Harus Selalu Mengalah

Kebiasaan anak yang lebih tua harus selalu mengalah pada yang lebih muda. Seolah-olah hal itu sudah menjadi budaya. Tapi sebenarnya, adakah dasar logiknya dan di mana prinsip keadilannya?

Ada satu contoh nyata seperti berikut:

Ada seorang kakak beradik, kakak bernama Dita dan adik bernama Rafiq.Neneknya selaku pengasuh utama selalu memarahi Dita ketika Rafiq menangis.Tanpa mengetahui siapa yang salah dan benar, si Nenek selalu membela si adik dan meletakkan kesalahan pada kakaknya. “Kenapa dengan kamu ini ? Sudah besar tapi tak nak mengalah dengan adik. “Begitulah ucapan yang keluar dari mulut si Nenek. Terkadang disertai dengan cubitan pada kakaknya.

Apa yang terjadi selanjutnya? Dita menjadi anak yang tidak mempunyai rasa percaya diri. Dia pun mula membenci adiknya. Lama kelamaan Dita mula banyak melawan atas ketidakadilan ini, dan yang terjadi kemudian adalah kedua bersaudara ini makin sering bertengkar. Sementara Rafiq yang selalu dibela menjadi makin ego dan makin berani menyakiti kakaknya, selalu merasa benar dan memberontak.

Apa yang seharusnya kita lakukan?

Anak perlu diajar untuk memahami nilai benar dan salah atas perbuatannya.Nilai benar dan salah tidak mengenal faktor usia. Benar selalu benar dan salah selalu salah berapa pun usia pelakunya.

Berlakulah adil. Ketahuilah maklumat secara lengkap sebelum mengambil keputusan. Jelaskan nilai benar dan salah pada anak.

28. Menghukum Secara Fizikal

Dalam keadaan emosi, kita selalu sensitif dengan sikap anak, bermula dengan suara keras, dan kemudian meningkat menjadi tindakan fizikal yang menyakiti anak.

Jika kita terbiasa dengan keadaan ini, kita telah mendidiknya menjadi anak yang degil, suka menyakiti orang lain dan memberontak. Perhatikan jika mereka bergaul dengan rakan sebaya. Percaya atau tidak, anak akan meniru tindakan kita yang suka memukul. Anak yang suka memukul rakannya pada umumnya adalah anak yang sering dipukul di rumahnya.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jangan pernah sekalipun menggunakan hukuman fizikal kepada anak – mencubit, memukul, atau menampar bahkan ada juga yang pakai alat seperti tali pinggang atau rotan.

Gunakanlah kata kata atau dialog, dan jika cara dialog tidak berjaya maka cubalah nilai diri kita. Cari jenis kebiasaan yang salah yang selama ini telah kita lakukan dan menyebabkan anak kita berkelakuan seperti ini.

29. Menunda atau Membatalkan Hukuman

Kita semua tahu bahaya yang luar biasa dari merokok, mula dari kanser, mati pucuk, gangguan kehamilan dan janin. Tapi mengapa masih banyak yang tidak peduli dan tetap degil untuk terus menjadi perokok? Jelas kerana akibat dari merokok itu terjadi kemudian dan bukan ketika itu juga.

Begitu juga dengan anak kita. Jika anda menjanjikan sebuah akibat hukuman atau hukuman bila anak berkelakuan buruk, jangan menunggu masa yang terlalu lama, melambatkan, atau bahkan membatalkan kerana alasan lupa atau kasihan.

Bila telah terjadi kesepakatan antara kita dan anak seperti tidak boleh minta dibelikan gula-gula atau mainan dan ternyata anak cuba cuba untuk merengek, kita ingatkan kembali pada kepadanya tentang perjanjian yang kita buat bersama. Anak biasanya akan berhenti merengek. Namun malangnya ketika anak berhenti merengek, kita menganggap masalah susah selesai dan akhirnya kita menunda atau bahkan membatalkan hukuman entah kerana lupa atau kasihan. Apa akibatnya? Anak akan mempunyai anggapan bahawa kita hanya bercakap kosong, maka mereka akan mempunyai kecenderungan untuk melanggar perjanjian kerana hukuman tidak dilaksanakan.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Jila kita sudah mempunyai kesepakatan dan anak melanggarnya, maka sekatan perlu dilaksanakan, jika kita kasihan, kita boleh mengurangkan hukumannya, dan usahakan hukumannya jangan bersifat fizikal, tapi seperti pengurangan masa menonton tv, ataupun bermain video game.

30. Terpancing Emosi

Jika ada keinginannya yang tidak dipenuhi, anak sering kali merengek, menangis, berguling dsb, dengan tujuan memancing emosi kita yang akhirnya kita marah atau mengalah. Jika kita terpancing oleh emosi anak, anak akan merasa menang, dan merasa boleh mengendalikan ibubapanya. Anak akan terus berusaha mengulanginya pada kesempatan lain dengan pancingan emosi yang lebih besar lagi.

Apa yang seharusnya kita lakukan?

Yang terbaik adalah diam, tidak bercakap, dan tiada tindak balas. Jangan pedulikan rengekan anak kita. Bila anak menangis katakan padanya bahawa tangisannya tidak akan mengubah keputusan kita. Bila anak tidak menangis tapi tetap masih membuat hal, kita katakan saja bahawa kita akan mempertimbangkan keputusan kita dengan syarat si anak tidak membuat hal lagi. Selepas pernyataan itu kita keluarkan, lakukan aksi diam. Tatap dengan mata pada anak, hingga ia berhenti mengadu/membuat hal. Proses ini memerlukan masa lebih dari 30 minit dan tabahlah untuk melakukannya. Dalam proses ini kita jangan malu pada orang yang memperhatikan kita; dan jangan pula ada orang lain yang berusaha menolong anak kita yang sedang membuat hal tadi. SEKALI KITA BERHASIL MEMBUAT ANAK KITA MENGALAH, maka selanjutnya DIA TIDAK AKAN MENGULANGI untuk yang kedua kalinya.

31. Menghukum Anak Saat Kita Marah

Hal yang perlu kita perhatikan dan selalu ingat adalah jangan pernah memberikan hukuman apa pun pada anak ketika emosi kita sedang memuncak. Pada saat emosi kita sedang tinggi, apa pun yang keluar dari mulut kita, baik dalam bentuk kata-kata mahupun hukuman akan lebih menyakiti dan menghakimi dan tidak menjadikan anak lebih baik. Kejadian tersebut akan terkesan pada anak biar pun telah berganjak dewasa. Anak juga boleh berdendam pada ibubapanya kerana sering mendapat perlakuan di luar batas.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Bila kita sedang marah segeralah menjauhi anak. Pilihlah cara yang tepat untuk boleh menurunkan marah kita dengan segera.

Apabila marah, kita akan memberikan hukuman yang berat pada anak, dan hanya akan menimbulkan pemberontakan baru yang lebih kuat daripada anak. Selepas emosi reda, barulah kita memberikan hukuman yang mendidik dan tepat dengan konteks kesalahan yang dibuat. Ingat, prinsip hukuman adalah untuk mendidik bukan menyakiti. Pilihlah bentuk sekatan atau hukuman yang mengurangkan aktiviti yang disukainya, seperti mengurangkan masa main game, atau bermain basikal.

32. Mengejek

Ibubapa yang biasa mengejek anaknya, seringkali secara tidak sedar telah membuat anak menjadi kesal. Dan ketika anak memohon kepada kita untuk tidak mengejeknya, kita malah semakin senang telah berjaya membuatnya kesal atau malu. Hal ini akan membina rasa tidak suka anak pada kita dan yang sering terjadi anak tidak menghargai kita lagi. Mengapa? Kerana ia menganggap kita juga seperti kawna-kawannya yang suka mengusik,

Apa yang seharusnya kita lakukan?

Jika ingin bergurau dengan anak kita, pilihlah bahan bergurau yang tidak membuatnya malu atau yang merendahkan dirinya. Akan jauh lebih baik jika seolah-olah kitalah yang jadi badut untuk ditertawakan. Anak kita tetap akan menghormati kita. Jagalah batas-batas dan elakkan bergurau yang boleh membuat anak kesal apalagi malu. Bagaimana caranya?Lihat ekspresi anak kita. Apakah kesal dan meminta kita segera menghentikannya? Bila ya, segeralah hentikan dan jika perlu meminta maaflah atas kejadian yang baru berlaku. Katakan bahawa kita tidak bermaksud merendahkannya dan kita berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

33. Menyindir

Terkadang kerana marahnya ibubapa sering didedahkan dengan kata-kata singkat yang pedas dengan maksud menyindir, seperti, “Tiba-tiba awal hari ini dah balik”, atau ” kamu pikir Mama / Papa ini pengawal keselamatan yang jaga pintu tiap malam ? “.

Kebiasaan ini tidak akan membuat anak kita menyedari akan sikap buruknya tapi malah sebaliknya akan membuat ia semakin menjadi-jadi dan menjaga jarak dengan kita. Kita telah menyakiti hatinya dan membuatnya tidak ingin berkomunikasi dengan kita.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?

Katakanlah secara langsung apa yang kita inginkan dengan kalimat yang tidak menyinggung perasaan, memalukan bahkan menyakiti hatinya. Katakan saja, “Sayang, Papa / Mama bimbang akan keselamatan kamu kalau balik lewat malam”. Dan sebagainya.

34. Memberi Nama Gelaran yang Buruk

Kebiasaan memberikan gelaran yang buruk pada anak boleh mengakibatkan rasa rendah diri, tidak percaya diri, atau rasa benci. Adakalanya anak ingin membuktikan kehebatan gelaran atau gelaran tersebut pada orang tuanya.

Penyelesaiannya.

Menukar gelaran buruk dengan yang baik, seperti, anak baik, anak hebat, anak bijak. Jika tidak boleh menemuinya cukup dengan panggil dengan nama kesukaannya saja.

35. Mengumpan Anak yang Suka Membantah

Ketika anak marah, merengek atau menangis, meminta sesuatu dengan memaksa, kita biasanya mengalihkan perhatiannya kepada perkara atau barang lain. Hal ini dimaksudkan supaya anak tidak merengek lagi. Namun yang terjadi malah sebaliknya, rengekan anak semakin menjadi-jadi. Contohnya, anak menangis kerana ia minta dibelikan mainan, kemudian kita berusaha membuatnya diam dengan berusaha mengalihkan perhatiannya seperti, “Lihat ada kakak pakai baju warna apa tu …” atau “Lihat ini, comelnya gambar ini”

Ingatlah selalu, pada saat anak kita sedang fokus pada apa yang dia mahu, ia akan memancing emosi kita dan emosinya sendiri akan menjadi sensitif. Anak kita pada umumnya adalah anak yang bijak. Dia tidak ingin dialihkan ke hal lain jika masalah ini belum ada kata sepakat penyelesaiannya. Semakin kita berusaha mengalihkan ke hal lain, semakin marahlah anak kita.

Apa yang sebaiknya dilakukan?

Selesaikan apa yang diinginkan oleh anak kita dengan membincangkan perkara itu dan membuat perjanjian di tempat, jika kita belum sempat membuat perjanjian di rumah. Katakan secara langsung apa yang kita inginkan terhadap permintaan anak tesebut, seperti “Papa / Mama belum boleh belikan mainan itu sekarang. Jika kamu nak, harus menabung terlebih dahulu. Nanti Papa / Mama ajar cara menabung. Bila kamu terus merengek kita tidak jadi jalan-jalan dan terus balik rumah. “Jika ayat ini yang kita katakan dan anak kita tetap merengek, segeralah kita pulang biar pun urusan belum selesai. Untuk urusan lain kita masih boleh menundanya. Tapi jangan sekali-kali menunda dalam mendidik anak.

36. Televisyen Sebagai Agen Pendidikan Anak

Perilaku anak terbentuk kerana 4 perkara:

Anak asyik tengok tv

  • Siapa yang lebih dulu mengajarkan kepadanya: kita atau TV?
  • Siapa yang dia percaya: apakah anak percaya pada kata-kata kita atau pada program TV?
  • Siapa yang menyampaikan dengan lebih menyenangkan: apakah kita menasihatinya dengan cara menyenangkan atau program-program TV yang lebih menyeronokkan?
  • Siapa yang sering menemaninya: kita atau TV?

Apa yang seharusnya kita lakukan?

  • Komunikasi dan buat pendekatan dengan menilai 4 hal tersebut yang menjadi faktor pembentuk perangai anak kita.
  • Menggantikannya dengan kegiatan di rumah atau di luar rumah yang padat.
  • Gantilah program TV dengan cerita pengetahuan yang lebih mendidik dan mencabar bermula dari kartun hingga CD dalam bentuk permainan pendidikan.

37. Mengajar Anak untuk Membalas

Sesetengah anak mempunyai kecenderungan suka memukul dan ada juga yang menjadi objek menerima pukulan dari rakan sebaya. Ibubapa biasanya tidak sabar melihat anak disakiti dan memprovokasi anak kita untuk membalasnya. Hal ini secara tidak langsung mengajar anak membalas dendam. Sebab pada saat itu emosi anak sedang sensitif dan apa yang kita ajarkan ketika itu akan diingatinya. Jangan terkejut bila anak kita sering membalas atau membalikkan apa yang kita sampaikan kepadanya.

Apa yang sebaiknya kita lakukan?:

Mengajar anak untuk mengelakkan rakan-rakan yang suka menyakiti.

Menyampaikan atau melaporkan pada ibubapa berkenaan bahawa anak kita sering dipukul atau dibuli dari anak tersebut.

Ajaklah ibubapa anak yang suka memukul untuk mengikuti program parenting baik di radio atau media lain.

Sumber

Perkongsian adalah diambil dari sumber yang dinyatakan untuk panduan semua.

The post 37 tabiat buruk ibu-bapa yang memberi kesan pada anak-anak appeared first on Media Suara Insan (MSI).

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>